Program Bantuan Susu Akan Diteruskan 2019

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan meneruskan pelaksanaan program pembekalan susu untuk murid sekolah rendah di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan, memaklumkan peruntukan untuk meneruskan program terbabit sudah disediakan menerusi Belanjawan 2019.

“Beberapa penambahbaikan akan dibuat bagi memastikan program ini mencapai objektif yang disasarkan dengan menangani semua kelemahan pelaksanaan termasuk proses perolehan.

“Kementerian akur wujudnya ketirisan dan kelemahan dalam pelaksanaan program susu ini ketika pentadbiran yang lalu dan usaha penyiasatan akan diambil untuk melihat punca kelemahan dan pihak yang terbabit,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan akan dilakukan untuk memastikan ketirisan dan kelemahan yang berlaku tidak akan berulang.

“Justeru, kementerian akan memastikan segala kelemahan yang berlaku sebelum ini akan diperbaiki dengan segera dan pelaksanaannya kelak lebih telus selari dengan dasar kerajaan baru yang menitikberatkan aspek akauntabiliti dan integriti,” menurut kenyataan itu.

Program pembekalan susu atau lebih dikenali sebagai Program Susu 1Malaysia (PS1M) diperkenalkan sejak tahun 1983 dengan nama Program Susu Sekolah (PSS).

Program terbabit adalah sebahagian daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk menggalakkan amalan minum susu dalam kalangan murid sekolah rendah.

PSS dijenamakan semula sebagai PS1M pada 9 Julai 2010 dengan setiap murid menerima dua kotak susu 200 mililiter berperisa coklat secara percuma, dua kali seminggu.

Sumber: BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published.