Pihak Pentadbir Boleh Tutup Sekolah Akibat Jerebu

Pihak pentadbiran sekolah berkuasa sepenuhnya menutup sekolah atau mengehadkan aktiviti luar sekiranya kualiti udara di kawasan masing-masing terjejas akibat jerebu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pihaknya sudah merangka prosedur operasi standard (SOP) kepada setiap sekolah untuk mengumumkan penutupan jika indeks pencemaran udara (API) mencatat bacaan tertentu.

Katanya, pihak sekolah boleh membuat pengumuman itu tanpa perlu merujuk kepada kementerian, berbanding sebelum ini.

“Apabila bacaan API mencatat bacaan tertentu, wajib bagi sekolah ditutup dan sebarang aktiviti luar turut dilarang berdasarkan SOP sedia ada.

“Maknanya, kita turunkan kuasa kepada sekolah supaya mereka tidak perlu lagi merujuk kepada Kementerian Pendidikan untuk mendapat kebenaran menutup sekolah atau mengehadkan aktiviti luar.

“Ketika ini, pihak sekolah perlu memantau situasi (jerebu) dan apabila mereka berasa keadaan tidak selamat dan API merekodkan bacaan tertentu, mereka boleh tutup secara automatik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada sekolah di kawasan yang mencatat bacaan udara tidak sihat disebabkan jerebu ketika ini akan diarah ditutup.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, API di dua kawasan mencatatkan bacaan kualiti udara tidak sihat iaitu Banting (101) dan Rompin (177).

Shah Alam turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 124 setakat jam 1 pagi tadi, namun dilapor kembali menjadi sederhana.

Sumber: BeritaHarian

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Don`t copy text!