Permohonan Tukar 4,525 Guru Sesi Januari 2019 Diluluskan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sudah meluluskan sebanyak 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019 daripada seramai 25,332 guru yang membuat permohonan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dalam kenyataannya hari ini berkata, jumlah itu ialah 19.53 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan pertukaran menggunakan sistem Module-GTukar yang dibuka sekali setahun dari 18 Februari 2018 hingga 25 Mac lalu.

“KPM memproses kesemua permohonan dengan mengambil kira alasan dikemukakan oleh pemohon berdasarkan wajaran seperti yang ditetapkan dalam Module-GTukar.

“Keputusan terhadap kelulusan pertukaran ini dimuktamadkan oleh sebuah Jawatankuasa Pertukaran Guru di peringkat kementerian,” katanya.

Mengulas lanjut, Amin berkata, jumlah permohonan yang diluluskan dari Jun hingga September tahun ini adalah seramai 2,252 orang atau 8.89 peratus daripada jumlah permohonan diterima.

“Alasan tertinggi yang diberi kelulusan adalah kes mengikut pasangan iaitu seramai 1,756 orang (38.81 peratus), diikuti kes tempoh berkhidmat di sesebuah negeri adalah seramai 1,030 orang (22.76 peratus).

“Lain-lain alasan munasabah pula seramai 814 orang (17.99 peratus), kes permohonan bersama seramai 663 orang (14.65 peratus), kes sakit kronik seramai 222 orang (4.91 peratus) dan kes ancaman keselamatan seramai 40 orang (0.88 peratus),” katanya.

Beliau berkata, baki permohonan pertukaran guru iaitu seramai 23,080 orang dan tambahan permohonan pertukaran guru atas alasan sakit kronik, ancaman keselamatan dan ikut suami/isteri (atas arahan perkhidmatan) adalah seramai 94 orang.

“Ini menjadikan kesemua permohonan pertukaran guru adalah seramai 23,174 orang,” katanya.

Amin berkata, proses kelulusan pertukaran seseorang guru adalah berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen di sesebuah sekolah di negeri yang dimohon.

“Alasan permohonan yang diberi pertimbangan dalam menentukan kelulusan pertukaran itu adalah membabitkan sakit kronik, ancaman keselamatan, mengikut pasangan, tempoh berkhidmat di sesebuah sekolah dan alasan lain yang munasabah dan wajar oleh guru berkenaan.

“Perlu diperjelaskan juga bahawa dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru dan kebajikan mereka, kementerian juga perlu memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kepentingan pembelajaran murid.

“Kementerian amat berharap agar guru-guru yang belum berjaya dalam urusan pertukaran ini meneruskan perjuangan dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mendidik anak bangsa seperti diharapkan negara,” katanya.

Sumber: BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published.