Cadangan Subjek Sains Pertanian Diajar Semula

KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan semula subjek Sains Pertanian di sekolah rendah dan menengah dalam waktu terdekat diyakini membantu menyemaikan minat generasi muda dalam bidang pertanian.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata subjek itu perlu menerapkan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang menjurus kepada pertanian moden dan memberi fokus kepada latihan amali.

Beliau berkata, sebagai perintis sekolah yang dipilih hendaklah berada di kawasan pertanian bagi memudahkan pelajar melaksanakan latihan amali.

“Sebelum diperkenalkan, Kementerian Pendidikan perlu melatih guru yang berkemahiran tinggi dalam bidang berkenaan bagi memastikan matlamat kerajaan memperkenalkan mata pelajaran itu mencapai sasarannya untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya pilihan.

“NUTP yakin subjek itu relevan dan tidak menjadikan pelajar kita ketinggalan dalam Revolusi Perindustrian 4.0 dan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bahawa kerajaan bercadang memperkenalkan semula subjek sains pertanian di semua sekolah.

Salahuddin dilaporkan berkata, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sudah menyatakan persetujuan beliau berhubung cadangan itu.

Pengetahuan dalam bidang itu bukan saja boleh dijadikan kerjaya, tetapi turut meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ini terbukti di negara maju.

Dalam pada itu, Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pengajaran dan pembelajaran semula mata pelajaran itu penting untuk membolehkan generasi muda menceburi sektor pertanian, sekali gus mengurangkan pergantungan negara kepada pengimportan produk makanan.

Katanya, pertanian juga adalah perniagaan dan di negara maju penggunaan teknologi moden membolehkan negara terbabit menjadi pengeksport produk makanan yang menyumbang kepada KDNK.

Beliau berkata, produk pertanian seperti koko, kelapa sawit, getah dan padi mempunyai permintaan tinggi dan menyumbang kepada KDNK negara.

“Jadikan pertanian suatu kerjaya dan pelajar kita tidak ketinggalan pada era Revolusi Perindustrian 4.0 dan AI jika kembali kepada bidang pertanian,” katanya.

Sumber: BeritaHarian

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Don`t copy text!