- Menggalakkan pemikiran ingin tahu (inquisitive), kritis dan kreatif.
- Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran.
- Menerapkan nilai ketuhanan, nilai murni, estetika dan patriotisme.
- Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh.
- Mengetahui keberkesanan pengajarannya.
- Merancang dan mengubah suai kaedah pengajarannya.
- Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta.
PBD dilaksanakan dalam semua mata pelajaran berdasarkan tahap penguasaan murid dan bukan untuk perbandingan antara individu. Guru menggunakan pelbagai aktiviti pembelajaran berdasarkan Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan bersesuaian dengan pembelajaran abad ke-21, serta kaedah pentaksiran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk menentukan tahap penguasaan murid.
Melalui aktiviti pembelajaran seperti tugasan individu atau kumpulan, sumbang saran, perbahasan, sketsa, pembentangan, atau eksperimen, serta menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran seperti kuiz, kerja projek, laporan amali, ujian bertulis, maklumbalas secara lisan atau ujian lisan; guru dapat menentukan tahap penguasaan murid berdasarkan standard prestasi yang ditetapkan dalam kurikulum.
PBD dilaporkan dalam bentuk tahap penguasaan murid. Terdapat enam tahap penguasaan bagi setiap mata pelajaran. Tahap penguasaan 1 hingga 6 adalah merujuk kepada penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai seperti yang terdapat dalam LAMPIRAN 1. PBD juga akan dijadikan bentuk pentaksiran yang akan menggantikan peperiksaan formal bagi murid Tahap 1 (Tahun 1 hingga Tahun 3)
Penentuan Tahap Penguasaan Murid
Tahap Penguasaan merupakan satu bentuk pernyataan pencapaian yang menunjukkan perkembangan pembelajaran murid. Ia ditentukan dengan cara pertimbangan profesional guru.
Guru menggunakan pengetahuan, pengalaman, input murid dan mengamalkan tanggungjawab profesional dalam membuat pertimbangan profesional. Guru juga perlu sentiasa mengikuti perkembangan tentang bidang atau disiplin ilmu, pedagogi serta pentaksiran melalui pembacaan dan perbincangan secara profesional dengan rakan pendidik lain untuk meningkatkan kompetensi dalam membuat pertimbangan profesional.