11 Tips Skor A Dalam Subjek Sains


11 Tips Skor A Dalam Subjek Sains. Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019 tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Murid-murid mungkin sudah mula membuat ulangkaji tajuk-tajuk yang lepas. Mungkin ada juga yang menghadiri bengkel-bengkel teknik menjawab soalan UPSR terutamanya untuk subjek sains dan matematik.

Bagi yang tidak berkemampuan untuk pergi tuisyen, jangan pula menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak mengulangkaji. Apa yang penting, set dalam minda kita bahawa kita boleh dapatkan apa yang kita hendak jika kena caranya.


Setiap pelajar, mungkin impikan untuk mendapat A dalam semua subjek. Apatah lagi subjek sains yang dilihat sangat sukar untuk mendapatkan A kerana banyak soalan melibatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Belum terlambat untuk mendapat skor A dalam subjek sains. Baca tips di bawah ini. Mungkin ini boleh membantu pelajar-pelajar untuk mendapatkan A dalam sains. Tidak mustahil kan?

Baca Tajuk Ramalan Sains UPSR 2018

Tips Skor A Dalam Subjek Sains



1. Pelajar mesti menguasai pengetahuan, kefahaman dan fakta-fakta asas sains dengan baik seperti definisi, prinsip sains, aplikasi sains, konsep sains dan sebagainya. Untuk memahami fakta-fakta sains dan konsep sains jangan lupa untuk rujuk buku teks yang dibekalkan oleh KPM kerana skop soalan, istilah, definisi diambil dari buku teks. Elakkan misconception tentang sains.

2. Pelajar perlu menguasai 12 kemahiran proses sains (KPS) yang telah dipelajari kerana soalan KPS seperti membina jadual, membina carta palang, mensintesis data, membuat inferens, melakar dan kemahiran komunikasi akan ditanya terutamanya dalam kertas 2.

3. Semasa menjawab soalan, garis kata kunci (keyword) apa yang ditanya oleh soalan. Berikan jawapan yang releven yang berkaitan dengan sesuatu topik sains. Elakkan memberi jawapan secara umum.

4. Untuk menjawab kertas 1, gunakan teknik CANTAS iaitu memotong jawapan yang tidak releven ataupun jawapan yang diyakini tidak tepat menggunakan pembaris.

5. Jika tidak memahami sesetengah soalan, langkau dulu soalan tersebut supaya menjimatkan masa semasa menjawab soalan. Pergi ke soalan yang lebih mudah dijawab. Jangan lupa semak betul-betul jawapan dan pastikan semua soalan telah dijawab. Jangan tinggal ruangan jawaban kosong. Cuba sedaya upaya untuk menjawab. Jika tak dapat jawab, berdoa dan berzikir supaya Allah SWT membantu kita menjawab soalan.

6. Menjawab soalan KBAT memerlukan pelajar berfikir diluar kotak. Baca soalan beberapa kali untuk memahami kehendak soalan. Seterusnya menggunakan kefahaman dan pengetahuan yang sedia ada untuk menjawab permasalahan yang diberi. Contohnya soalan; Bagaimana cara tumbuhan hijau di dalam air melakukan proses fotosintesis?

7. Baca dan ulangkaji topik-topik yang sukar dikuasai seperti topik mesin kompleks, sistem suria, fasa bulan dan sebagainya dengan lebih kerap bagi meningkatkan pengetahuan kita terhadap topik tersebut.

8. Dalam buku teks, terdapat banyak contoh penyiasatan dan eksperimen yang telah disediakan oleh KPM. Jangan lupa untuk rujuk penyiasatan atau eksperimen dalam buku teks sebagai persediaan kepada pelajar bagi menduduki peperiksaan.

9. Jawab soalan-soalan lepas (soalan format baru - 2016-2018) dan membuat latih tubi menjawab soalan sains. Jangan lupa menjawab soalan ramalan dan soalan percubaan dari negeri-negeri lain. Buat latih tubi atau belajar dalam kumpulan amat digalakkan.

10. Baca dan sediakan nota ringkas yang ringkas dan menarik supaya kita boleh membuat scamming dan scanning di saat-saat akhir peperiksaan. Tidak perlu membaca buku rujukan yang tebal di saat-saat akhir.

11. Jangan lupa target dalam diri untuk dapat A dalam sains dengan cuba mendapatkan sekurang-kurangnya 32/40 untuk kertas 1 dan kertas 2 (zon markah yang selamat saya set bagi pelajar saya 34/40 untuk kedua-dua kertas ).

Walaupun sesetengah orang mengatakan UPSR tidak berapa penting namun kita kena menyokong pelajar atau anak kita yang akan menduduki UPSR. Ini kerana UPSR dianggap sebagai ujian pertama bagi mereka menempuhi peringkat-peringkat yang seterusnya.

Jangan lupa untuk berdoa, solat hajat dan mendapatkan restu dari ibubapa dan guru sebelum UPSR berlangsung. Jangan lupa menjaga permakanan, menjaga kesihatan dan mendapatkan rehat yang cukup sempena minggu peperiksaan nanti. Semoga berjaya.

Tips oleh Cikgu Wan




Previous Post Next Post